Rabu, 24 Oktober 2007

UKM DI ANGKASA



Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dipilih oleh Jawatankuasa Pemilihan Angkasawan Agensi Angkasa Rusia (Roscosmos) sebagai angkasawan pertama Malaysia untuk misi ke angkasa lepas selama 10 hari di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS). Dr. Sheikh Muszaphar adalah doktor ortopedik dan pensyarah perubatan pelatih di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). Beliau akan berlepas bersama Komander Peggy Whitson dari Amerika Syarikat dan jurutera penerbangan Yuri Malenchenko di tapak pelancaran Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan pada 10 Oktober 2007, pukul 7.21 malam waktu tempatan (9.21 malam waktu Malaysia). Di ISS, beliau akan membuat ujikaji mengenai kesan mikrograviti dan radiasi angkasa lepas terhadap sel dan mikrob, di samping mengenalpasti protein yang berpotensi sebagai vaksin HIV. Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Jamaluddin Jarjis, pemilihan Dr. Sheikh Muszaphar adalah berasaskan pencalonan asal oleh Malaysia kepada Roscosmos yang mencalonkan Dr. Sheikh Muszaphar sebagai calon pertama dan Kapten Dr. Faiz Khaleed, 27, sebagai calon kedua.Selain itu, jawatankuasa berkenaan turut mengambil kira laporan semua komponen dan pihak yang terlibat dalam melatih kedua-dua angkasawan itu. Terdahulu, Dr. Sheikh Muszaphar telah dipilih bersama tiga calon lain pada awal tahun 2006 untuk program Angkasawan Negara. Setelah tamat latihan awal di Star City di Russia, beliau dan Kapten Dr. Faiz Khaleed telah terpilih untuk menjalani latihan 18 bulan di Russia.Program Angkasawan Negara itu adalah persetujuan timbal-balik pembelian 18 jet pejuang Sukhoi SU-30 MKM bernilai RM3.4 bilion dari Rusia dan ditandatangani pada 5 Ogos 2003. Warga UKM mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada Dr. Sheikh Muszaphar. Malaysia Boleh!

Tiada ulasan: