Selasa, 23 Oktober 2007

Kemiskinan Bandar dan Sektor Tidak Formal di Malaysia.

Peningkatan jumlah penduduk bandar menjadi satu trend di kebanyakan negara membangun hari ini. Kepesatan pembangunan di bandar mewujudkan peluang pekerjaan yang menarik migrasi desa-bandar dan menyumbang kepada peningkatan kadar pembandaran. Kepesatan pertumbuhan penduduk secara semula jadi dan peluasan sempadan bandar juga menjadi faktor yang menyumbang kepada fenomena ini yang seterusnya mewujudkan masalah kemiskinan bandar. Masalah kemiskinan bandar berkait rapat dengan kekurangan peluang pekerjaan dan persaingan untuk mendapatkan pekerjaan bergaji lumayan. Salah satu dasar dan hala tuju pembangunan kerajaan adalah untuk mengurangkan jurang kemiskinan secara berkesan dan proaktif. Peluang pekerjaan yang wujud di bandar, sama ada di sektor formal atau tidak formal dipercayai dapat mengubah corak hidup dan meningkatkan taraf hidup penduduk yang disasarkan. Deretan isu yang dapat diikuti dalam buku ini turut memfokus kepada aktiviti yang dapat menyumbang kepada peningkatan pendapatan golongan miskin di sektor tidak formal. Kajian di beberapa bandar terpilih menunjukkan perniagaan adalah aktiviti tidak formal yang popular di kalangan golongan miskin bandar. Pendapatan yang diterima daripada aktiviti ini walaupun tidak lumayan tetapi sekurang-kurangnya memberi peluang kepada mereka untuk meneruskan perjuangan hidup di bandar yang begitu mencabar.

Kemiskinan Bandar dan Sektor Tidak Formal di Malaysia. 2003. Penerbit UKM: Bangi. ISBN 967-942-559-1 (paperback). 198 hlm. RM 25.00. Nor Aini Haji Idris & Chamhuri Siwar (disunting).

Tiada ulasan: