Ahad, 5 Ogos 2007

urbanisasi..

MELAKA 16 April - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu membuat perancangan awal bagi menghadapi proses urbanisasi dengan mematuhi pelan induk supaya dapat mewujudkan kehidupan berkualiti di bandar.
Timbalan Perdana Menteri berkata, ini kerana proses urbanisasi tanpa mengikut pelan induk akan menyebabkan pembangunan di bandar tidak terkawal sehingga menimbulkan pelbagai masalah termasuk persekitaran yang buruk.
``Proses urbanisasi di negara ini begitu dinamik dan pesat sekali dan dengan itu, PBT mestilah cepat membuat rancangan serta dapat menjangkakan dalam masa-masa tertentu berapa banyak penghuni baru di bandar.
``Itulah yang kena diperiksa awal-awal dengan keperluan sosial dan lain-lain mesti dirancang agar menjadi perkara wajib... mesti ada pelan induk,'' katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Bandaraya Berkembar 2002 di Bandar Hilir di sini, hari ini.
Bagaimanapun, kata Abdullah, sekarang ini, ada di antara perancangan yang tidak mengikut pelan induk disebabkan oleh berlakunya perkembangan lain dan tekanan baru pembangunan.
``Disebabkan itu, kawasan yang dikenal pasti untuk padang riadah dijadikan tapak perumahan baru dan kedai. Maka ini bermakna pelaksanaan pembangunan bandar mengikut pelan yang tidak betul,'' kata beliau.
Timbalan Perdana Menteri berkata, urbanisasi adalah satu perkembangan yang tidak boleh disekat, tetapi prosesnya perlu dijaga dengan mengambil kira nilai-nilai hidup kerana banyak penduduk luar bandar akan membanjiri bandar.
``Jika kawasan bandar tidak mempunyai perumahan secukupnya, tiada kemudahan awam, kesihatan, persekolahan dan riadah, maka mereka yang ramai ke bandar tentu sekali menimbulkan masalah,'' ujarnya.
Sehubungan itu, kata Abdullah, proses urbanisasi di Malaysia menekankan tentang pentingnya bandar-bandar yang dilengkapkan dengan kemudahan-kemudahan sosial yang diperlukan penghuni bandar.
``Kita mahu bandar menjadi kawasan yang rakyat merasa senang untuk hidup dengan tenang, tidak terlalu sempit, tidak kotor dan penduduk merasa gembira tinggal di situ.
``Ini dapat memastikan penduduk menikmati cara hidup lebih baik dan bermutu tinggi serta merasa selamat dan aman,'' kata beliau.
Abdullah menjelaskan, pada umumnya, berdasarkan pencapaian Malaysia, proses urbanisasi di Malaysia berjaya dilaksanakan, tetapi perlu dipertingkatkan kerana perkembangan di bandar begitu pesat.

Tiada ulasan: